Sunday, June 6, 2010

Contoh Surat Kiriman Rasmi – Surat Aduan
Nazleen Bte Ahmad
No. 3 Jalan Bunga Matahari
Singapura 443420
26 September 2007
Pegawai Perhubungan
Kementerian Persekitaran
7. Jalan Sentosa
Singapura 112999
Tuan
Aduan Tentang Pantai Yang Tercemar
Merujuk perkara di atas, saya, Nazleen Bte Ahmad, seorang pelajar dari Sekolah Menengah Tanjung Bunga ingin mengadu tentang pantai yang terletak berdekatan sekolah saya yang kian tercemar. Saya juga ingin memberi beberapa cadangan agar pihak tuan dapat mengambil langkah-langkah yang sewajarnya bagi memajukan pantai ini sebagai destinasi pelancongan.
Pantai yang saya sebutkan di atas, dahulunya merupakan sebuah pantai yang indah dan bersih. Kebelakangan ini saya dapati terdapat sebilangan pengguna yang telah mengubah keadaan pantai ini. Kini, pantai tersebut penuh dengan sampah sarap. Sampah sarap ini boleh sahaja didapati di tepian pantai, tetapi juga di laut. Akibat daripada hal ini, banyak serangga dan binatang pemusnah sudah mula kelihatan berkeliaran di sana sini, membuat pantai tersebut tidak sesuai untuk aktiviti bersantai. Selain sampah, kerap juga air laut dicemari minyak yang tumpah dari kapal-kapal besar.
Saya harap denda yang lebih ketat dikenakan kepada sesiapa yang didapati bersalah mencemarkan kawasan pantai ini. Selain itu, pihak tuan juga boleh menganjurkan satu kempen yang boleh menimbulkan kesedaran di kalangan masyarakat negara ini tentang tanggungjawab mereka menjaga kebersihan dan keindahan pantai tersebut.
Akhir sekali, pantai yang bersih boleh menjadi satu daya tarikan para pelancong. Memandangkan ekonomi Singapura banyak bergantung kepada industri pelancongan, pantai tersebut boleh dijadikan sebagai satu daya tarikan pelancong. Selain daripada pantai yang bersih, saya sarankan agar pantai tersebut dibangunkan. Kemudahan ataupun perkhidmatan seperti sukan air mahupun pembinaan calet boleh difikirkan. Tentu sekali dengan adanya kemudahan dan perkhidmatan seperti ini, pantai ini dapat dimajukan lagi.
Saya amat berharap agar pihak tuan mengambil tindakan secepat mungkin bagi mengatasi masalah pantai yang tercemar ini. Saya juga berharap cadangan-cadangan yang telah saya berikan akan dipertimbangkan.
Yang benar
Nazleen Bte Ahmad
(Pelajar Sekolah Menengah Tanjung Bunga)










Contoh Surat Kiriman Rasmi - Surat Permohonan
Soalan:
Anda ingin menemui seorang tokoh perjuang kemerdekaan di Malaysia. Tuliskan sepucuk surat kepada tokoh berkenaan. Dalam surat itu, nyatakan tujuan dan sebab-sebab anda ingin menemui beliau.
Aliman bin Haji Suip
Blk 321 #04-1559
Ang Mo Kio Avenue 1
Singapura 560321
4 April 2004
Tuan Haji Jumain bin Abu Samah
45, Jalan Temenggong Ahmad,
80100 Johor Bahru
Johor Darul Takzim
Tuan Haji
Memohon Persetujuan Untuk Mewawancara
Berhubung dengan perkara di atas, saya mewakili majalah Tunas, majalah tahunan Sekolah Menengah Sembawang bercadang ingin mewawancara Tuan Haji, bagi mendapatkan maklumat tentang perjuangan Tuan Haji dalam menuntut kemerdekaan.
Menurut guru Sejarah kami, sumbangan Tuan Haji menuntut kemerdekaan bersama- sama Datuk Onn Jaafar amat bermakna sekali. Perjuangan Tuan Haji patut direkod untuk kajian generasi akan datang.
Jika tidak menjadi keberatan, kami ingin mengcungkil latar belakang keluarga, pendidikan serta penglibatan politik Tuan Haji. Kami bercadang untuk berkunjung ke rumah Tuan Haji pada cuti sekolah penggal akan datang ini iaitu pada hari Isnin, 1 Jun 2004.
Kami berharap agar hasrat kami tidak menjadi kesulitan bagi pihak Tuan Haji. Kami akan menghubungi Tuan Haji kemudian untuk mendapatkan kepastian. Kerjasama dan perhatian Tuan Haji, kami dahului dengan ucapan terima kasih.
Sekian.
Yang Benar
Aliman
Aliman bin Haji Suip
Ketua Pengarang,
Majalah Tunas
testing my blog